FRESH PARENTS
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.
FRESH PARENTS

This forum is dedicated for young and lively parents to share useful information and news related to parenting, current issues and etc.


You are not connected. Please login or register

Takut Anak Tak Menjadi...

Go down  Message [Page 1 of 1]

1Takut Anak Tak Menjadi... Empty Takut Anak Tak Menjadi... Fri Jul 11, 2008 7:54 pm

acik311



Takut Anak Tak Menjadi...

Takut dan bimbang akan keselamatan anak adalah satu perasaan yang normal, kerana ia terbit dari naluri seorang bapa atau seorang ibu yang prihatin pada masa depan anaknya. Takut anak tak menjadi, rosak, tak pandai bawa diri, tak faham agama, terpengaruh dengan budaya yang berlawanan dengan Islam, tak tahu mengaji Quran, tak boleh pimpin isteri dan anak-anak apabila sudah berkeluarga, dan bermacam-macam lagi. Takut nasi jadi bubur dan anak-anak akhirnya akan salahkan ibu bapa. Dan takut anak-anak tak selamat dari neraka dan ibu bapa akan disoal di hadapan Allah.

“Sesungguhnya Allah akan menanyai setiap penanggungjawab akan apa yang diamanahkan kepadanya, sama ada dia memeliharanya atau dia mensia-siakannya, sehinggalah seorang lelaki itu ditanya tentang ahli keluarganya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Namun, takut dan bimbang ini masih perlu diimbangi dengan pengharapan agar anak selamat, bahagia dan sejahtera di dunia dan di akhirat. Supaya lahir dorongan untuk beri perhatian, belaian, didikan dan tunjuk ajar kepada anak secara berterusan.

Dengan kata lain, untuk mengisi tanggungjawab yang merangkumi:

1. Tanggungjawah didikan agama
* Kenalkan pada Allah supaya dia tahu membesarkan Allah dan tepat akidahnya.
* Kenalkan pada agama Allah yang indah supaya dia tidak mengikut cara hidup lain selain Islam.
* Fahamkan dia halatuju dalam hidup untuk beribadah kepada Allah supaya dia kenal dirinya serta berusaha menjadi hamba dan khalifah Allah yang sempurna.
* Ajar dan ajak sembahyang supaya kuat hubungannya dengan Allah.
* Ajar dia ilmu al-Quran supaya boleh dan suka mengaji Quran serta faham kehendak ayat-ayat al-Quran.
* Ajar fardu ain supaya tahu membezakan yang wajib, sunat, harus, haram dan makruh, sah ibadahnya serta tahu aplikasikan syariat dalam kehidupan seharian.
* Beri didikan adab untuk membentuk peribadi dan akhlak mulia.
* Yakinkan dia pada kehidupan di akhirat supaya dia terdorong menyediakan bekalan yang cukup untuk kembali ke ‘sana’.

2. Tanggungjawah didikan ketrampilan diri dan kemahiran hidup
* Latih anak berdikari supaya hidupnya tidak terlalu bergantung pada orang lain.
* Ajar kemahiran hidup dan latih memikul tanggungjawab supaya mampu menangani sendiri soal-soal teknikal dalam kehidupan, pandai bawa diri dan mencari rezeki.
* Ajar tentang pengurusan masa supaya hidupnya terurus dan terdisiplin.
* Dedahkan pada pergaulan yang luas dan baik supaya pandai sesuaikan diri dan terbentuk sahsiahnya dalam suasana teladan dan jauh dari pengaruh buruk.
* Beri ilmu tentang kehidupan berkeluarga dan mendidik anak, terutama sesudah anak baligh dan hampir tiba masa untuk berumah tangga.
* Pilihkan jodoh yang baik supaya dia dan pasangannya hidup dalam suasana berkasih sayang dan sokong-menyokong mengabdikan diri kepada Allah.

Melaksanakan tanggungjawab pendidikan ini memang susah dan berat, khususnya jika ibu bapa sendiri tidak mendapat didikan sebagaimana yang cuba diterapkan pada anak-anak. Malah ibu bapa sendiri pun dalam proses membetulkan dan mendidik diri. Tetapi ini satu cabaran yang tidak dapat dielakkan, kerana pendidikan anak-anak merupakan kewajipan yang mesti diutamakan, seperti juga kewajipan memberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal kepada mereka.

Oleh itu, mahu atau tidak, ibu bapa perlu mendapatkan sokongan ilmu dan motivasi yang boleh diperolehi dari pembacaan, majlis ilmu, kursus keibubapaan dan perkongsian pengalaman agar mampu:

1. Memberi teladan dalam segala aspek kehidupan yang anak mudah ikut.

2. Memberi perhatian dan kasih sayang hingga anak yakin dirinya benar-benar disayangi, dengan itu lebih mudah dilentur.

3. Beri imbangan antara hukuman dan galakan. Galakan membuatkan anak bersemangat untuk buat perkara yang baik dan betul. Hukuman membuatkannya tahu kesalahannya dan takut untuk mengulanginya.

4. Kawal dan pantau anak-anak supaya mereka sentiasa beringat-ingat dan ibu bapa dapat menghulur tangan jika hadapi masalah.

5. Selalu menasihat dan menegur anak supaya dia tidak lari dari landasan kebenaran.

6. Mendoakan anak secara khusus dan berterusan, mudah-mudahan Allah sentiasa memberkati, merahmati dan mengampuninya.

Semua ini dilakukan demi memastikan ibu bapa dan anak sama-sama mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang selalu dipohonkan: “Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkanlah kami dari azab neraka.”Ini juga sesuai dengan firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka…” (At-Tahrim: 6)

Untuk selamat di ‘sana’, tentulah harus ada keseimbangan dalam memburu kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Mudah-mudahan keseimbangan ini dapat dicapai dengan berkat didikan agama dan didikan ketrampilan diri yang ibu bapa berikan.

Koleksi ANIS/ Oleh: Zakaria Sungib

Back to top  Message [Page 1 of 1]

Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum